Saturday, August 8, 2009

i Lurve islam


Kasih Sayang Allah

Bila Allah cepat makbulkan doamu,
Maka DIA menyayangimu,
Bila DIA lambat makbulkan doamu,
Maka DIA ingin mengujimu,
Bila DIA tidak makbulkan doamu,
Maka sesuatu yang lebih baik menantimu
Oleh itu,
Sentiasalah bersangka baik pada ALLAH
Dalam apa jua keadaan pun...
Kerana kasih sayang ALLAH itu
Mendahului kemurkaanNya. .

Monday, August 3, 2009

Iman Semut

Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Saturday, August 1, 2009

Malam

Satu malam mengandungi berjuta makna kepada setiap individu. Malam sangat berharga bagi mereka yang menginsafi kewujudan diri di alam fana. Malam digunakan bagi mencari keredhaan Ilahi. Ditambah dengan kehadiran malam-malam istimewa yang penuh barakah seperti 'malam nisfu syaaban', '10 malam terakhir ramadhan', dan 'malam lailatul-qadar'. Dan pastinya malam adalah untuk menginsafi dan mengukur diri di sisi Maha Pencipta.


Rasulullah s.a.w bersabda “Sesungguhnya dari sebahagian malam itu ada satu waktu yang tidak menyamai kebaikannya bagi seorang muslim untuk memohonkan sesuatu yang baik kepada Allah Ta’ala, melainkan Allah pasti akan mengabulkannya. Demikian itu ada pada setiap malam.” (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., sabda Rasulullah lagi bermaksud "Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun tengah malam lalu dia mengerjakan sembahyang dan membangunkan isterinya untuk turut sama bersembahyang. Kalau isterinya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya. Dan Allah mengasihi seorang wanita yang bangun tengah malam untuk mengerjakan sembahyang lalu dia membangunkan suaminya untuk turut yang sama. Kalau suaminya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya" (HR Abu Daud dengan isnad yang sahih)

Dalam diri manusia sendiri ada dua suasana iaitu malam dan siang. Malam menunjukkan suasana hati yang gelisah dan dangkal, dan siang menggambarkan kelapangan dada. Pada hati yang terselimuti malam, orang menjadi mudah curiga, senang dengan yang serba tertutup dan sukar memaafkan. Orang bijak mengatakan, siang adalah di mana kita mampu membezakan antara kebaikan dan kejahatan. Selama kita tidak dapat membaca kearifan diri kita pada wajah orang yang kita temui, walau jam di dinding menginjak 12 tengahari, namun diri masih diselimuti 'malam'.

i LuV IslaM


Monday, July 27, 2009

Keampunan Ibu Bapa

"Wahai tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa masuk ke rumahku dengan keadaan beriman dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki, dan perempuan dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan"
(Surah Nuh, ayat 28)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Rasulullah s.a.w pernah menerangkan keutamaan mendoakan keampunan kepada ibu bapa - Sesungguhnya Allah s.w.t menaikkan darjat seseorang lelaki yang soleh di syurga, lalu dia bertanya, "Wahai Tuhan! Kenapakah saya mendapat kelebihan ini?" Dijawab, "Disebabkan permohonan ampun anak kamu kepada kamu".

Sunday, July 26, 2009

Kelebihan Bulan Syaaban

Sabda Nabi s.a.w. :- ‘Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu.’

Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga.Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub dan Nabi Daud.

Jika dia sempurnakan puasanya sebulan bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huruhara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari qiamat, dan diwajibkan syurga baginya.

Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhir khamis daripada Syaaban, dimasukkan dia ke dalam syurga.

Berkata Siti Aisyah r.a. :- ‘Bulan yang lebih dikasihi oleh Rasulullah S.A.W. ialah bulan Syaaban.’

Sabda Nabi S.A.W. :- ‘Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani).’

Sabda Nabi S.A.W. :- ‘Bahawa puasa Syaaban kerana membesarkan Ramadhan, siapa berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia bersolawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa, maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu,diberkatkan rezkinya baginya. Bahawa Allah membukakan pada bulan itu tiga ratuspintu rahmat.’

Sabda Nabi S.A.W :- ‘Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak, dan puasa yang lebih afdhal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban.’

Sabda Nabi S.A.W :- ‘Bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Quran atas segala kalam. Kelebihan Syaaban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihanku atas segala Anbia’. Kelebihan Ramadhan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas sekelian makhlukNya.’

Bulan Syaaban - keagungan malamnya dengan Nisfu Syaaban seperti keagungan Rejab dengan malam Isra’ Mikrajnya, dan keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Maka pada malam

Nisfu Syaaban telah datang Jibril kepada Rasulullah S.A.W. lalu katanya :- ‘Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekelian orang yang tiada syirik denganNya sesuatu, kecuali tukang nujum, kekal dalam zina, kekal minum arak dan derhaka terhadap ibubapa.’

Sabda Nabi S.A.W. :- ‘Allah menilik kepada hambaNya pada malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa segala makhlukNya melainkan orang syirik dan orang yang tiada bertutur dengan saudaranya.

Sabda Nabi S.A.W lagi :- ‘Apabila pada malam Nisfu Syaaban maka berjagalah kamu pada malamnya bersembahyang, beribadat, dan puasa kamu pada siangnya. Allah berfirman, Adakah orang yang meminta ampun maka aku ampunkannya, adakah orang yang ditimpa bala Aku afiatkannya. Adakah orang yang meminta rezki maka Aku rezkikannya, demikianlah pertanyaan lainnya sehingga keluar fajar subuh.

Tersebut dalam kitab Al-Barokah, bahawa jin, burung, binatang-binatang buas,ikan di laut berpuasa mereka pada hari Nisfu Syaaban.

Tersebut di dalam kitab Iqna’, bahawa Jibril bersungguh-sungguh pada malam Nisfu Syaaban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada Rasulullah S.A.W. kali keduanya, katanya :- ‘Ya Muhammad, gembirakanlah kamu bahawa Allah telah mengampunkan segala umatmu orang yang tiada mensyirikkanNya sesuatu, angkatkan kepalamu, lalu Rasulullah mengangkatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala pintu syurga.’

Kata Syeikh Abdul Qadir Al-Kilani di dalam Ghaniah :- ‘Bahawa malam Nisfu Syaaban adalah hariraya malaikat, begitu juga pada malam Lailatul Qadar mereka tidak tidur, dipenuhi dengan amal dan ibadat sepanjang-panjang malamnya. Dan bagi anak-anak Adam berhariraya padanyapada siang hari dengan berpuasa dan ibadat, kerana mereka tidur pada malamnya.
Allah tidak akan mengampunkan dosa pada malam Nisfu Syaaban kepada enam orang :-

  1. Orang yang kekal minum arak.
  2. Orang yang derhaka dua ibubapanya.
  3. Orang yang kekal dalam zina.
  4. Orang yang banyak berkelahi.
  5. Orang yang melakukan perjualannya dengan sumpah yang dusta.
  6. Orang yang memperlagakan orang supaya berkelahi.


Sesiapa sembahyang pada malam Nisfu Syaaban daripada umat Muhammad S.A.W. terlebih afdal daripada ibadatnya 400 tahun. Demikian Allah memberitahu kepada Nabi Isa lalu Nabi Isa pun berdoa kepada Tuhan, ‘Mudah-mudahan aku daripada umat Muhammad S.A.W.’