Saturday, August 8, 2009

i Lurve islam


Kasih Sayang Allah

Bila Allah cepat makbulkan doamu,
Maka DIA menyayangimu,
Bila DIA lambat makbulkan doamu,
Maka DIA ingin mengujimu,
Bila DIA tidak makbulkan doamu,
Maka sesuatu yang lebih baik menantimu
Oleh itu,
Sentiasalah bersangka baik pada ALLAH
Dalam apa jua keadaan pun...
Kerana kasih sayang ALLAH itu
Mendahului kemurkaanNya. .

Monday, August 3, 2009

Iman Semut

Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Saturday, August 1, 2009

Malam

Satu malam mengandungi berjuta makna kepada setiap individu. Malam sangat berharga bagi mereka yang menginsafi kewujudan diri di alam fana. Malam digunakan bagi mencari keredhaan Ilahi. Ditambah dengan kehadiran malam-malam istimewa yang penuh barakah seperti 'malam nisfu syaaban', '10 malam terakhir ramadhan', dan 'malam lailatul-qadar'. Dan pastinya malam adalah untuk menginsafi dan mengukur diri di sisi Maha Pencipta.


Rasulullah s.a.w bersabda “Sesungguhnya dari sebahagian malam itu ada satu waktu yang tidak menyamai kebaikannya bagi seorang muslim untuk memohonkan sesuatu yang baik kepada Allah Ta’ala, melainkan Allah pasti akan mengabulkannya. Demikian itu ada pada setiap malam.” (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., sabda Rasulullah lagi bermaksud "Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun tengah malam lalu dia mengerjakan sembahyang dan membangunkan isterinya untuk turut sama bersembahyang. Kalau isterinya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya. Dan Allah mengasihi seorang wanita yang bangun tengah malam untuk mengerjakan sembahyang lalu dia membangunkan suaminya untuk turut yang sama. Kalau suaminya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya" (HR Abu Daud dengan isnad yang sahih)

Dalam diri manusia sendiri ada dua suasana iaitu malam dan siang. Malam menunjukkan suasana hati yang gelisah dan dangkal, dan siang menggambarkan kelapangan dada. Pada hati yang terselimuti malam, orang menjadi mudah curiga, senang dengan yang serba tertutup dan sukar memaafkan. Orang bijak mengatakan, siang adalah di mana kita mampu membezakan antara kebaikan dan kejahatan. Selama kita tidak dapat membaca kearifan diri kita pada wajah orang yang kita temui, walau jam di dinding menginjak 12 tengahari, namun diri masih diselimuti 'malam'.

i LuV IslaM