Saturday, April 18, 2009

Abbas peluk Islam secara sembunyi

PADA suatu musim kemarau, ketika penduduk dan negeri ditimpa kekeringan yang sangat, keluarlah Amirul Mukminin Umar bersama kaum Muslimin ke kawasan terbuka, melakukan solat istisqa' (minta hujan) dan berdoa merendahkan diri kepada Allah yang Penyayang agar mengirimkan awan dan menurunkan hujan kepada mereka.

Umar berdiri sambil memegang tangan kanan Abbas dengan tangan kanannya, diangkatnya ke arah langit sambil berkata: "Ya Allah, sesungguhnya kami pernah memohon hujan perantaraan Nabi-Mu, pada masa beliau masih berada di antara kami. Ya Allah, sekarang kami meminta hujan pula perantaraan saudara Nabi-Mu, maka mohonlah kami diberi hujan."

Belum sempat kaum Muslimin meninggalkan tempat itu, datang awan tebal dan hujan lebat mendatangkan sukacita, menyiram bumi dan menyuburkan tanah. Sahabat menemui Abbas, memeluk dan menciumnya serta mengambil berkat dengannya sambil berkata: "Selamat kami ucapkan untuk anda, wahai penyedia air minum Haramain (Makkah-Madinah) ."

Yang dimaksudkan penyedia air minum Haramain ialah Abbas bin Abdul Mutthalib, bapa saudara Rasulullah SAW seperti sering disebut Baginda, "Inilah orang tuaku yang masih ada."
Abbas tua tiga tahun daripada Rasulullah SAW dan umur yang hampir sebaya itu menjadikan bapa serta anak saudara teman yang rapat disokong hubungan kekeluargaan antara mereka.
Hal lain menyebabkan Nabi menempatkan Abbas di tempat pertama, ialah kerana akhlak dan budi pekertinya yang pemurah, seolah-olah dialah saudara atau bapa yang pemurah dan untuk itu tidak segan mengeluarkan tenaga ataupun harta.

Beliau juga seorang yang cerdas, bahkan sampai ke tingkat genius dan disokong kedudukan tinggi di kalangan Quraisy, beliau sanggup membela Rasulullah SAW dari bencana dan kejahatan ketika melahirkan dakwahnya secara terang-terangan. Abbas tidak mengumumkan keislamannya kecuali pada tahun pembebasan kota Makkah menyebabkan sebahagian ahli sejarah memandangnya tergolong yang akhir memeluk Islam.

Ada riwayat lain dalam sejarah memberitakan beliau adalah antara angkatan yang pertama memeluk Islam tetapi menyembunyikan keislamannya itu. Berkatalah Abu Rafi Khadam Rasulullah SAW.: "Aku adalah anak suruhan (pelayan) bagi Abbas bin Abdul Mutthalib, dan waktu itu Islam telah masuk kepada kami, ahli bait (keluarga Nabi) maka Abbas pun masuk Islam begitu pula Ummul Fadlal, dan aku pun juga masuk. Hanya Abbas menyembunyikan keislamannya. " Inilah riwayat Abu Rafi yang menceritakan keadaan Abbas yang masuk Islam sebelum perang Badar.

Orang Quraisy pun tidak menyembunyikan keraguan mereka mengenai hati kecil Abbas, tetapi mereka tidak punya alasan untuk memusuhinya, apalagi padanya lahir tingkah laku dan agamanya tidaklah bertentangan dengan kemahuan mereka.

Ketika berlaku perang Badar, terbuka kesempatan bagi orang Quraisy untuk menguji pendirian Abbas dengan memaksa beliau turut bersama memerangi Rasulullah dan pengikutnya.
Walaupun berjaya menceritakan gerak geri dan muslihat orang Quraisy, Abbas dengan hati yang berat menyertai Quraisy dalam peperangan itu.

Namun, Rasulullah SAW berseru kepada sahabat dan pengikutnya supaya sesiapa yang bertemu dengan Abul Bakhari bin Hisyam bin Harith bin Asad dan Abbas bin Abdul Mutthalib, jangan membunuhnya kerana orang-orang itu dipaksa untuk ikut berperang. Perintah itu bukan bermaksud Rasulullah SAW hendak memberikan keistimewaan kepada bapa saudaranya Abbas, tetapi Baginda mengetahui pendirian serta status saudaranya itu.

Sehinggalah akhirnya apabila Abbas tidak dapat menyembunyikan keislamannya daripada pengetahuan orang Quraisy, beliau mengambil keputusan menyusul Rasulullah ke Khaibar, mengikut rombongan angkatan Islam dan kafilah orang beriman.

Abbas sangat dicintai dan dimuliakan oleh kaum muslimin, terutama kerana melihat Rasulullah SAW sendiri memuliakan serta mencintainya dengan ucapan, "Abbas adalah saudara kandung ayahku. Maka siapa yang menyakiti Abbas tak ubahnya menyakitiku! " Abbas meninggalkan keturunannya yang diberkati Abdullah bin Abbas mutiara umat dengan pengertian alim, abid dan salih, adalah salah seorang anak yang diberkati Nabi.

Pada Jumaat 14 Rejab 32 Hijrah, penduduk kampung dataran tinggi Madinah mendengar pengumuman: "Rahmat Allah bagi orang yang menyaksikan Abbas bin Abdul Mutthalib!"
Mereka mendapati Abbas sudah meninggal. Ramai yang mengiring jenazahnya, belum pernah terjadi selama ini sebanyak itu.

Jenazahnya disolatkan khalifah Muslimin pada waktu itu, yakni Uthman bin Affan. Di bawah tanah Baqi' beristirahatlah dengan tenang tubuh Abul Fadlal. Beliau tidur nyenyak dengan hati puas, di lingkungan orang baik-baik yang bersama memenuhi janji mereka kepada Allah.

0 comments: